Bertahun-tahun dahulu, setiap hari aku kenakan baju biru lusuh dengan seluar biru gelap bersama kasut kain hitam yang menampakkan stokin putih malap untuk ke sekolah. Kasut kain tersebut telah diubahsuiai oleh ayahku kerana asalnya kasut tersebut ialah kasut bola dan stadnya dipotong supaya hilang bunyi hentakan stad pada lantai simen di sekolah.
"Jangan ingat ayah beli kasut bola ni untuk buat kasut sekolah adik sebab ayah tak ada duit"
"Habis tu, kenapa yah"
"Ayah nak adik belajar laju, tangkas, ligat macam Mokhtar Dahari gelecek bola dan jaringkan gol"
Aku hanya melompat-lompat riang seperti anak burung pipit yang baru dapat suapan makanan dari ibunya setelah sekian lama menunggu. Ayah hanya tersenyum melihat gelagat aku yang tidak sabar menunggu hari esok untuk menayangkan kasut baru. Dalam hatinya mungkin tertawa riang kerana muslihatnya telah berjaya kerana berhari-hari aku mogok tidak mahu makan sebab nakkan kasut baru. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah ayah yang meregangkan segala kedut-kedut umur di dahinya.
Apalah ertinya budak umur 10 tahun mengerti perihal "dressing up-to-date" di kala persekitarannya hanya dikelilingi pokok kayu hutan yang menjadi lubuk rezeki penduduk setempat. Termasuk ayah aku. Celah-celah pokok getah bagaikan taman permainan, pasar malam bagaikan shopping mall, parit-parit dan sungai bagaikan Sunway Lagoon zaman aku.
Kerap kali juga aku bertanyakan soalan-soalan yang membuatkan ayah seringkali termenung sejenak barangkali menyusun rapi ayat-ayat supaya aku tidak sedar dengan kesempitan hidup yang dialami.
"KFC tu makanan apa yah?"
"KFC tu macam ayam goreng yang mak kau selalu masakkan untuk bekal sekolah"
Aku mengangguk tanda setuju.
"Kenapa TV rumah kita ni kecik je yah"
"Buat apa TV besar-besar, kalau TV kecil ni tunjuk cerita gaban, yang besar pun sama juga. Kau tengok kenapa orang bandar ramai yang pakai cermin mata. Sebab mereka tengok TV besar"
Aku terus merapati ayah yang sedang khusyuk membuat sangkar ayam sambil bercerita mengenai keberhasilan belajar di sekolah aku berbanding belajar di kota. Ayah bercerita seperti tok dalang yang lantang membenarkan setiap plot ceritanya.
***
Lamunan seorang guru tua terhenti seketika di kala membaca sebuah keratan berita daripada akhbar tempatan:
Kuala Lumpur - Sepuluh orang pelajar sekolah telah ditangkap oleh sekumpulan penduduk taman yang didapati berpeleseran di sekitar kawasan berkenaan pada waktu persekolahan. Mereka yang lengkap berpakaian seragam sekolah telah diekori beberapa kali oleh penduduk di sini dan didapati berkumpul sesama mereka di dalam perumahan yang terbiar. Saksi yang namanya ingin dirahsiakan memberitahu pelajar ini kerap kali berada di kawasan ini sejak cangan KFC dibina di sini. Menurutnya lagi pihak KFC disarankan agar mengambil tindakan segera rentetan dari kejadian ini. Pelajar- pelajar yang ditangkap telah dibawa ke balai polis berhampiran dan pihak sekolah serta ibu bapa telah dipanggil untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment